Peranan R.O. Winstedt tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab pusat bagi melatih guru dan bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa ke Persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.
Beliau juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang banyak berteraskan kepada kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan ialah komposisi penduduknya haruslah sederhana ramai. Dalam proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjong Malim dilihat sebagai satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt.
Pada 26 Mei 1917, Tanjong Malim secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab. Pada tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan baginda Sultan. Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 - 1916.
Tanah seluas 64 hektar telah dibeli di Tanjong Malim dengan harga $49,000.00 untuk dijadikan kampus dan kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Ogos 1919. Reka bentuk bangunannya berunsur seni bina ala-Gothic Zaman Pertengahan. Pada tahun 1922, pembinaan maktab siap sepenuhnya. Pada 29 November 1922 SITC dirasmikan oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Bermula 19 November 1922, pengambilan kumpulan pertama pelatih lelaki berjumlah 115 orang telah mendaftar.
SITC berkembang pantas. Kemasukan pelatihnya pula tidak terbatas hanya kepada orang Melayu di Tanah Melayu, malah meluas hingga ke Brunei, British Borneo dan Singapura. Pada bulan Mac 1924, SITC mengeluarkan guru terlatihnya yang pertama seramai 58 orang. Jumlah guru terlatih yang dikeluarkan terus meningkat dari setahun ke setahun. Dalam era ini jugalah bermulanya usaha membina peradaban bangsa menerusi bahasa Melayu. Pejabat Karang-Mengarang menjadi lidah rasmi yang memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda. Usaha ini berkembang subur di tangan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba
Pada tahun 1957 nama SITC ditukarkan kepada nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Langkah ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak. Dari tarikh ini bermulalah era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai orang Eropah beralih tangan kepada cendekiawan Melayu.
Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya apabila menerima 140 orang penuntut perempuan. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan senario baru dalam tradisi MPSI. Meskipun penuntut perempuan diterima masuk, namun MPSI terus ke hadapan sebagai sebuah institusi perguruan yang
cemerlang dan terunggul tanpa membezakan taraf dan jantina.
Genap usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997, tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan nama singkatannya UPSI.
Jika dilihat dari segi bilangan pengambilan pelajar dalam tempoh dua belas tahun (1997 - 2009), peratus pengambilan amat besar jika dibandingkan dengan perancangan awal penubuhan universiti ini. Minat pelajar lulusan STPM, Diploma atau yang setaraf dengannya amat tinggi sekali dan umum mengetahui bahawa UPSI adalah IPTA paling popular menjadi pilihan pelajar.
Dari seramai 338 orang pelajar pada tahun 1997, kini (2009) enrolmen pelajar UPSI menjangkau 12,005 pelajar, tidak termasuk sejumlah 523 pelajar Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dan pelajar pasca siswazah seramai 1,357 orang. Jumlah keseluruhan pelajar yang aktif di kampus UPSI sehingga ke hari ini adalah 13,885 orang.
No comments:
Post a Comment
Jangan letak link tersembunyi di ruangan komen ini. Terima Kasih dan datang lagi ye